SEJARAH KESULTANAN TERENGGANU

Sultan Zainal Abidin 1 adalah putera Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Johor. Baginda telah dilantik sebagai Sultan Terengganu yang pertama di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu pada tahun 1708 Masihi. Menurut catatan, beliau telah dilantik sebagai Sultan Terengganu oleh Nang Chayang, Raja Pattani. Manakala menurut Tuhfatul Nafis baginda telah ditabalkan oleh Daeng Menambun setelah mendapat perintah dari Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Johor. Pusat pemerintahan baginda ialah di Tanjung Baru. Sebelum berpindah ke Kampung Langgar kemudian ke Kampung Pulau Manis dan Chabang Tiga.
Seterusnya baginda berpindah ke Kuala Terengganu dan menetap di satu tempat yang kemudiannya dikenali sebagai Kota Lama. Baginda mempunyai beberapa orang isteri iaitu perempuan Muar, Nang Rugayah (Cik Puan Besar), anak Tuk Pulau Manis dan anak Dato' Wan Ismail. Anakanda baginda ialah Ku Tana Wangsa, Ku Tana Ali, Ku Tana Ismail, Ku Tana Mansur dan Ku Tana Embong. Baginda mangkat pada tahun 1733 dan jenazah baginda dimakamkan di atas Bukit Keledang Kuala Terengganu.